Antara strategi itu, katanya adalah dengan menggalakkan penggunaan ICT dalam semua industri secara agresif, selari dengan pembangunan sektor itu, yang dijangka menyumbang 10.2 peratus kepada KDNK negara menjelang 2015, berbanding 9.8 peratus pada 2009.
Perkhidmatan pengkomputeran berasaskan internet akan dibangunkan bagi menyediakan aplikasi perisian kritikal kepada enterpris kecil dan sederhana (EKS) untuk menguruskan perhubungan pelanggan, perancangan sumber enterpris, pengurusan rantaian nilai, pengurusan sumber manusia serta pengurusan kewangan dan perakaunan.
Bidang terpilih bagi pembangunan aplikasi termasuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan terutama perbankan Islam.
Katanya pendidikan dan latihan akan diberi keutamaan bagi memenuhi keperluan modal insan sektor ini, melalui penumpuan kerjasama antara industri-akademia-kerajaan.
Bagi sektor elektrik dan elektronik, katanya terdapat peluang untuk membangunkan lagi kebolehan tempatan terutamanya di dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan meningkatkan sumbangan aktiviti nilai tambah yang tinggi.
Sepanjang tempoh RMK10, katanya peluang dalam bidang automasi, peminiaturan, pendigitalan dan aplikasi multimedia akan diteruskan dan pengkhususan dalam bidang sepera konduktor, sistem terbenam, optoelektrik, frekuensi radio dan wayarles akan digalakkan.
Disasarkan menyumbang 3.3 peratus kepada KDNK menjelang 2015, sektor perkhidmatan perniagaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengurusan alam sekitar, katanya.
Dalam tempoh RMK10, kerajaan akan meminda perundangan untuk memudahkan komitmen yang dibuat di peringkat dua hala, serantau dan pelbagai hala bagi meliberalisasi industri serta mewujudkan peluang perniagaan yang baru.
Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk pertanian bernilai tinggi seperti akuakultur, rumpai laut dan rempah-ratus, katanya kerajaan akan menggalakkan proses pengeluaran yang menggunakan teknologi perladangan moden dan ICT termasuk Projek Perdana Pertanian berasaskan ICT.
Kerajaan juga akan menubuhkan konsortium dan koperasi pertanian untuk memperoleh faedah skala, menggalakkan penggunaan amalan akreditasi oleh petani, nelayan dan usahawan serta mengukuhkan pemasaran melalui ladang kontrak dan pakatan strategik.
Peraturan dan prosedur yang sediada juga akan dikaji dan diperkemaskan terutamanya bagi industri sarang burung walit, akuakultur dan herba bagi menarik pelaburan serta penyertaan lebih besar pihak swasta, kata laporan itu.
-- BERNAMA
0 kritikan!:
Post a Comment